Pusat Internet (PI) Merapok mengucapkan selamat datang kepada pelawat portal kami. PIMerapok merupakan salah satu daripada tiga PI yang terdapat di Daerah Lawas. Selain PI Merapok, antara PI yang terdapat di Daerah Lawas adalah PI Kampung Banting dan PI Sundar. Bangunan asal PI Merapok merupakan bangunan yang digunakan sebagai balai raya serta pusat kegiatan penduduk di sekitar Merapok.
PI adalah projek yang dilaksanakan melalui Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Telekom Malaysia Berhad (TM) yang merupakan kontraktor utama dan MSD Digital Intelligence SDN Bhd sebagai penyelaras program. Fokus projek ini adalah untuk memberikan perkhidmatan capaian internet di kawasan luar bandar.
Menurut Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) YBhg. Dato’ Sri Dr. Halim Shafie dalam Utusan Online bertarikh 11 April 2016, PI merupakan usaha kerajaan untuk memperluas capaian dan penggunaan internet bagi merapatkan jurang digital antara masyarakat bandar dan luar bandar. Selain kemudahan internet, pelbagai kemudahan lain turut disediakan seperti pusat pembangunan usahawan dalam talian, pusat latihan ICT, pusat kreativiti serta pusat advokasi bagi program ‘Klik Dengan Bijak’ (KDB).